Tuesday, December 25, 2012


KOMEN ATAS KOMEN



Suatu ketika dahulu, seorang raja bertitah kepada sebahagian pembesarnya dan rakyat jelata supaya tidak mendekati sebatang pohon di taman istana yang telah disumpah oleh ahli sihir menjadikan buahnya beracun. Jika dimakan buahnya, maka akan mati dek kerana racun berbisa. Telah berkali-kali cuba ditebang pohon itu tapi tidak berhasil. Titah sang raja:

“Beta berseru kepada sekalian rakyat jelata agar tidak mendekati dan tidak mengambil buah dari sebatang pohon berdekatan tasik di taman istana. Jika sesiapa makan buah itu, nescaya akan mati. Justeru, jangan sesekali mengambil buah dari pohon itu meskipun kalian kebuluran. Jika tiada makanan, datanglah kepada beta nescaya beta beri kamu makan. Barangsiapa mengambil buah tersebut untuk dijual atau diberi makan kepada orang lain, akan beta pancung. Beta amat menyayangi rakyat beta.”

Demikianlah seorang raja yang amat mencintai rakyatnya dan sentiasa melindungi keselamatan seluruh negaranya. Takdir tidak menyebelahi sang raja. Disebarkan kepada rakyat jelata yang tidak mendengar titah baginda raja bahawa baginda penguasa zalim. Seorang yang mendengar titah baginda berkata:

“Hamba dengar raja bertitah supaya tidak mengambil buah dari pohon itu. Katanya, walaupun kita kebulur tiada makanan, jangan juga dimakan buah dari pohon itu. Siapa makan, nescaya akan mati. Siapa ambil untuk diberi makan kepada orang lain pula akan dipancung. Sungguh zalim raja kita. Kita harus menentang. Raja zalim harus dibunuh.”

Rakyat 1: “Alangkah zalim raja kita, tidak bersimpati kepada kita si miskin yang tiada berpunya apa-apa. Buah itu juga dilarang kita mengambilnya.”

Rakyat 2: “Ini raja tiada berhati perut. Tiada otak. Tiada belas kasihan pada rakyatnya.”

Rakyat 3: “Masakan mengambil buah untuk diberi makan kepada orang lain juga akan dipancung? Ini tidak masuk akal. Ini penindasan sang penguasa kepada rakyatnya.”

Kemarahan rakyat membuak-buak. Akhirnya sang raja maut di tangan si pemberontak. Si penghunus pedang pembunuh raja dengan bangga lantas memetik sebiji buah dari pohon itu lalu dimakannya. Racun menjalar ke seluruh urat sarafnya lantas dia rebah dalam kesakitan. Mati di pinggiran pohon dengan buah yang belum kehabisan di tangan.

Begitulah nasib sang raja. Larangan untuk keselamatan rakyatnya akhirnya menempah maut untuk dirinya. Berita yang sampai ke telinga sang rakyat terus dipercayai tanpa mendapat sebarang penjelasan dari sang raja. Raja yang amat mengasihi rakyatnya digambarkan seorang penguasa yang zalim. Mengapa ia berlaku?

  1. Yang mendengar ucapan tersebut tidak faham atau sengaja buat-buat tidak faham ucapan raja tersebut.
  2. Hanya sekerat atau sepotong dua ayat sahaja dari keseluruhan ucapan raja disampaikan mengikut kecenderungan pemikiran.
  3. Hanya ayat yang boleh dijadikan modal untuk si pembuat komen bercakap sahaja yang ditekankan sedangkan ayat “Jika tiada makanan, datanglah kepada beta nescaya beta beri kamu makan” dan ayat “Beta amat menyayangi rakyat beta” tidak disampaikan.
  4. Tiada siapa yang mendengar ulasan terhadap apa yang diucapkan sang raja pergi untuk mendapatkan penjelasan raja terhadap maksud titahnya.
  5. Rakyatnya terlampau emosional dalam menghadapi perkara ini.
Makanya, seluruh ucapan sang raja sudah “dilarikan” maksudnya yang membawa kepada “fitnah secara tidak sengaja” terhadap sang raja.

Bukankah itu yang berlaku pada hari ini? Kita mudah percaya akan suatu berita yang disampaikan. Dilaporkan kepada kita oleh seorang teman rapat bahawa si polan berkata begini dan begini. Dipetik satu dua ayat daripada seluruh ucapan yang panjangnya hampir dua jam. Kemudian dibuat satu komen mengikut acuan kecondongan sendiri. Kemudian komen itu disebarkan. Dan ramai yang malas untuk mendengar sendiri ucapan yang dua jam, tetapi rajin untuk membuat komen terhadap komen yang dibuat. Kata-kata hamburan dari komen si pendengar ditambah lagi dengan hamburan komen atas komen yang telah dibuat.

Natijahnya, kita mengkritik sang pembuat ucapan tanpa mendengar sendiri keseluruhan teks ucapannya tetapi hanya berpandungan kepada orang lain yang memberi komen. Dan akhirnya, satu gambaran salah dicipta secara tidak langsung kepada pengucapnya.

Itulah hakikatnya! Terkadang kita alpa dek ketaksuban kecenderungan kita, maka kita mudah mempercayainya. Tidak perlu usul periksa. Tidak perlu soal segala. Kita tidak tahu apa maksud ucapannya, kita tidak faham apa konteks ucapannya. Yang dilihat hanya sebaris dua ayat seperti apa yang berlaku kepada sang raja tadi. Malah tiada siapa yang pergi untuk meminta penjelasan sang raja akan apa maksudnya dan atas sebab apa baginda bertitah sedemikian.

Itulah kita!

Penyebar fitnah tanpa usul periksa!

Pemaki hamun tak kira masa!

Kerna kita rasa kita betul belaka!

Bukankah Islam ajar “Jika sampai satu berita, hendaklah kamu selidikinya”!

Mungkin kita sudah lupa!

Atau memang kita jenis yang ikut sedap kita bila berkata-kata!