Monday, August 12, 2013

CABARAN UNTUK KERAJAAN DI BAWAH PIMPINAN BARU


Saya "mencabar" kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat mengikut kemampuan yang ada. 23 tahun memerintah bukan lagi alasan untuk tuding-menuding kepada kerajaan Pusat. Kalau orang yang berusia 23 tahun pun, sudah tidak relevan untuk dia masih bergantung kepada ibu bapa.

Soal Lebuhraya Rakyat yang dinilaikan 1 billion dan kita setakat ini hanya mampu mengutip 20 juta. Adakah kerana masih tidak mencapai angka 1 billion maka ia menjadi satu alasan untuk tidak memulakan sebarang kerja ke arah permulaan lebuh raya? Gunakan 20 juta tersebut walaupun ia mampu membina hanya 1km sahaja. Kerana rakyat ingin melihat ada usaha.

Soal stadium, ia dipecah tanah ketika hampir menjelang PRU13 dan setakat ini, saya tidak melihat sebarang gerak kerja dilakukan (stadium "bakal" dibuat di kawasan saya dalam DUN Selising, Pasir Puteh). Jangan jadikan ia sebagai modal pilihanraya! Sebelum PRU13 pecah tanah, nanti bila PRU14 bakal menjelma, wakil kerajaan pergi letak batu asas pulak?

Anak-anak muda melihat janji-janji ini dibuat dan anak-anak muda juga menanti janji-janji ini terlaksana. Semangat mempertahankan kerajaan Kelantan di bawah parti itu mungkin akan pudar jika perkara ini tidak diambil serius. Anak muda sekarang saya lihat bukan lagi "totok warna".

Seperti mana BN selalu kata, "Kalau kami memerintah negeri Kelantan, kami akan bina lebuhraya dan stadium". Jangan pula PAS meniru "Kalau kami menang Putrajaya, baru kami dapat bina lebuhraya dan stadium". Sama tapi tidak serupa?

Rakyat khususnya anak muda ingin melihat perbezaan. Jangan marah jika saya kata "Kalau PAS gagal menangani isu janji khususnya lebuhraya dan stadium, jangan terkejut atau melatah kerana saya meramalkan PAS bakal tersungkur di negeri yang ia rasakan paling selamat!"

Friday, February 22, 2013


REBUT GULA-GULA

Teringat masa kecil-kecil dulu, kalau ada acara sukan, pasti ada acara rebut gula-gula. Biasanya acara tersebut hanya dikhususkan untuk kanak-kanak umur 6 tahun ke bawah. Seorang dewasa akan memegang plastik besar berisi gula-gula dan melambung segenggam demi segenggam gula-gula tersebut untuk direbut oleh anak-anak kecil. Maka anak-anak kecil yang excited melompat-lompat cuba merebut-rebut gula-gula sebanyak mungkin.

Bapa A: “Apsal la dok baling gula-gula tu. Macam dok bagi makan kat beruk dah.”

Bunyinya kasar.

Anaknya juga turut serta dalam acara rebut gula-gula itu.

Bapa B: “Tak baik kau cakap anak-anak tu beruk. Anak kau pun ada kat situ.”

Bapa B tersinggung kerana anaknya juga turut serta.

Bapa A: “Eh kau ni. Ada aku cakap anak-anak kecil tu beruk ke? Aku cakap yang dok baling gula-gula tu pasal apa? Macam dok bagi makan kat beruk la dok main baling-baling ni.”

Sambungnya lagi, “Aku tak marah anak-anak kita dok rebut tu, aku marah orang yang baling gula-gula tu. Gaya orang yang baling gula-gula tu macam dia tengah bagi makan beruk. Aku bukan cakap anak-anak kita beruk.

“Kalau kau nak marah, marah la kat orang yang dok baling gula-gula tu sebab dia buat anak-anak kita macam beruk. Yang kau marah aku kata aku cakap anak-anak kita macam beruk pasal apa? Tok sah dok nak putar belit la”


Tok sah dok putaq belit,

Nanti tak pasai-pasai diri sendiri terpalit.

Wednesday, January 23, 2013


KASUT

Saat berjalan membeli makanan di pasar malam, seorang budak lelaki sebaya adik bongsuku itu mengangkat kening ke arah adikku.

“Siapa tu?” tanyaku spontan.

“Ali (bukan nama sebenar). Dia sama pra sekolah dengan aku dulu. Yang mak dia mati accident masa lintas jalan dulu,” jawab adikku.

Aku cuba mengorek kembali memori itu. Namanya pernah aku dengar. Dan cerita ibunya mati kemalangan juga seakan tersimpan rapi dalam benakku. Tidak pasti tentang ayahnya, tapi rasanya ayahnya juga sudah tiada.

“Sekarang sekolah sama ke?” tanyaku bersahaja.

“Ya. Entah la dia tinggal dengan siapa sekarang. Pak cik dia kot. Kesian dia,” sambung adikku.

Kesian.

Itu yang terlintas.

“Hari tu cikgu buat spot check kasut. Dia pun kena panggil juga,” adikku ingin terus bercerita.

Spot check kasut adalah perkara biasa di sekolah. Yang memakai kasut yang tidak memenuhi piawaian akan dikenakan tindakan. Kriterianya, tidak memakai kasut yang tidak sesuai untuk persekolahan, tidak mempunyai line yang berlebihan, line tidak berwarna merah, tidak memakai selipar dan tidak melilit atau mengikat tali kasut pada kaki.

Adikku dipanggil juga cikgu disiplin atas sebab yang terakhir.

“Ali kena panggil sebab kasut dia buruk. Buruk sangat. Lusuh,” kata-kata adikku yang membuat aku tergamam.

Sambungnya, “Cikgu marah dia depan pelajar lain.Aku nak cakap kat cikgu situasi Ali, tapi aku takut sebab aku pun kena panggil. Lagipun depan orang ramai, takut Ali pula yang malu.”

Terkilan.

Itu yang aku rasa.

Memanggilnya bersama pelajar-pelajar yang tidak memenuhi kriteria pemakaian kasut yang dibenarkan pihak sekolah adalah wajar. Tetapi memarahinya atas sebab kasutnya buruk dan lusuh di hadapan khalayak ramai bukan suatu tindakan yang bijak. Tidak pasti samada guru tersebut ada bertanya mengapa kasutnya begitu saat dia memarahi pelajar itu.

Guru disiplin tugasnya bukan sahaja meninggikan suara atau menghayun rotan kepada pelajar berkesalahan, tetapi ia lebih daripada itu. Alangkah baiknya, jika memanggil pelajar tersebut bersendiri dan ditanyakan sebab sebelum dimarahi di khalayak ramai. Tidak ada sesiapa yang mahu memakai kasut buruk dan lusuh di sekolah.

Aku percaya, masih ramai guru-guru yang ada hati. Bukan menyuruh guru tersebut mengeluarkan wang membelikan kasut, tetapi cukuplah menyelami hatinya dan tidak memalukannya. Lebih baik jika dilaporkan kepada pihak kebajikan sekolah, atau koperasi, atau PIBG. Aku yakin dan pasti, akan ada yang mahu sponsor sepasang kasut untuknya.

Aku malu dan takut.

Kerana di tepian aku melukut.

Jangan marahkan aku sekencang ribut.

Jika penampilanku tampak kusut.

Aku tidak meminta dan tidak mahu menyebut.

Yang aku tidak mampu membayar harga sepasang kasut.

Friday, January 18, 2013


DIAM TANDA APA?

“Kami datang ni membawa hajat. Nak menyunting bunga di taman. Sudikah Melah menjadi menantu kami, bersuamikan Mail?” tanya Pak Mat kepada Pak Lang dan Mak Lang, ibu bapa Melah.

“Hah Melah, apa kata kamu?” sergah Mak Lang kepada anak gadisnya yang dari tadi lagi diam membisu.
Melah berhasrat untuk memanjangkan tempoh masanya dalam diam.

“Diam tandanya setuju la tu,” sampuk Mak Esah isteri Pak Mat, disambut hilai tawa semua orang yang ada. Melah hanya senyum tersipu-sipu. Malu tapi mahu.

Diam tanda SETUJU?

Diam maksudnya YA?

Diam isyarat SOKONG?

Mungkin pada tahun 60-an, gayanya begitu. Diam maknanya tiada bangkangan. Diam disama ertikan dengan setuju. Adakah dunia era ini begitu? Masih relevankah diam tanda setuju pada hari ini? Bukan dari segi nikah kahwin sahaja, tapi dari segala aspek.

Freedom of speech. Hampir segenap kelompok manusia bercakap soal hak kebebasan bersuara. Semakin hari, semakin galak berbicara soal kebebasan bersuara. Ia menunjukkan betapa kebebasan bersuara berada pada tahap bahaya. Penafian, baik secara formal atau tidak formal, terhadap hak seseorang untuk bersuara semakin terhakis. Kalau tidak kerana hak tersebut semakin terhakis, maka orang tidak akan bercakap soal kebebasan bersuara. Polis tidak akan mempertingkatkan rondaan di suatu kawasan perumahan jika kadar jenayah di kawasan tersebut tidak meningkat. Mudah!

Kita melihat suasana pada hari ini yang sudah tidak mesra untuk berbeza pandangan. Orang sudah takut untuk menentang arus. Kita berada pada zaman di mana sokongan disuarakan sekuat mungkin, tapi ketidak sokongan didiamkan sesunyi mampu. Mereka yang tidak bersetuju lebih memilih untuk mendiamkan diri daripada menyuarakan ketidak puasan hati. Faktornya, mungkin memikirkan natijah jika tidak bersetuju atau untuk menjaga hati seseorang.

Apa saja alasannya, era ini adalah era di mana ramai antara kita yang “takut” untuk bersuara. Maka bila kita menyuarakan sesuatu, ada yang gegak gempita menyokong kita, tapi ada juga yang diam tidak berkata apa-apa. Tapi tiada seorang pun yang berkata tidak setuju. Apakah kita berfikiran semua setuju?

Samada mereka takut atau malu.

Atau tidak mahu dilihat melulu.

Maka bila aku berkata sesuatu.

Dan ada yang tidak menyokong tanda setuju.

Tapi memilih untuk diam membatu.

Isyaratnya aku sangat tahu.

Kerna aku juga begitu.

Diam bila tidak besetuju!

Thursday, January 17, 2013


SESI SOAL JAWAB

“Terima kasih kepada semua panelis atas pandangan yang dikemukan. Sekarang saya buka kepada para hadirin untuk bertanya sebarang soalan kepada panelis. Sila mara kearah mana-mana mikrofon, nyatakan nama anda dan dari mana,” kata moderator program atau forum.
Maka sesi soal jawab dibuka.

Typical.

Memang biasa.

Satu kebiasaan selepas apa saja program, baik syarahan atau forum, baik formal atau tidak formal, sesinya diakhiri dengan soal jawab.

Satu kebiasaan bagi mereka yang inginkan pencerahan, menyokong atau membangkang hujah panelis untuk bersuara.

Satu kebiasaan juga, bagi saya untuk menikus tanpa kata-kata, hanya senyum di muka, tapi bicara penuh di dada. Cuma selalu saja alasannya “mungkin tak kena tempat dan masa, lain kali saja.”

“Orang yang berjiwa besar sedia untuk dikritik,” kata seorang pakar motivasi di TV3.

Ya, dikritik! Bukan kritikan terhadap fizikalnya yang gempal, hitam atau pendek. Bukan kritikan bersifat peribadi dia berkahwin dua atau dia takut bini.

Tapi kritikan terhadap hujahnya, terhadap apa yang diuarakannya pada forum tersebut. Dan panelis seharusnya mendengar hujahnya dikritik dan bersedia untuk membalas kritikan tersebut dengan hujah. 

Panelis harus sedar yang dia semestinya akan “menang” dalam sesi soal jawab itu kerana yang bertanya tidak mungkin akan diberi peluang untuk menjawab kembali apa yang dijawab oleh panelis. Mudah! Ia sebuah sesi soal jawab, bukan perbahasan yang bersabung-sabung antara dua pihak.

Maka, moderator tidak harus menjadi “lebih sudu daripada kuah” sehingga menampakkan kebodohannya, malah menjadikan panelis juga sama bodoh kerana menjangkakan panelis “tidak mampu” untuk menjawab soalan yang dikemukakan, kerana itu dia menolak soalan, malah menafikan hak penanya soalan.

I can't force you to agree with me. But I will fight for your right to disagree.

Kita inginkan mahasiswa yang kritis. Mahasiswa yang mampu berpemikiran terbuka. Mahasiswa yang mengolah idea, bukan menghafal skrip.

Bawani.

Ia hanya satu nama.

Tapi mewakili sejuta mahasiswa.

Cuma bezanya, dia Bawani yang bersuara.

Dan kita Bawani bisu bila berbicara.

Jangan kata nak mahasiswa kelas pertama.

Jika takut berdepan hujah berbeda.

Jangan buat forum atau bual bicara.

Kalau nak rasa syok sendiri saja.


Kalau berdepan seorang mahasiswa pun anda tidak berdaya.

Nasihat saya, sesi soal jawab jangan sesekali dibuka!

Thursday, January 10, 2013


BELASUNGKAWA


Sudah lebih dua minggu tidak sempat menjenguk blog yang baru dibuka. Setelah posting pertama dimuat naikkan dan blog dipromosikan kepada sahabat-sahabat terdekat, beberapa soalan ditanya:

“Buat blog baru ke?”

“Apsal nama blog unik sangat?”

“Thanks. Nanti ada masa aku baca.”

“Dah lama dah cakap nak start blogging balik, baru sekarang ada.”

..… dan segala macam komen lagi yang diberi. Tapi yang terbaik ialah:

“Ala, satu artikel je? Tak cukup bro!”

Aku anggap itu satu pujian dari seorang sahabat yang dahagakan lagi artikel-artikel seterusnya. Idea menulis masih segar di otak. Ada artikel-artikel dalam proses mengemaskini. Cuma masanya “kurang ada” untuk diletakkan sebagai tatapan. Sibuk. Sibuk menjadi drebar terhormat bonda tercinta. Keadaan kesihatan datuk yang semakin kurang. Setelah lebih kurang 3 bulan terlantar sakit, semalam Allah menjemput hambaNya itu untuk kembali kepadanya. Semoga Allah mengampuni segala khilafnya dan menempatkan dia dalam kalangan orang yang beriman.

Ayah, aku rindu padamu.

Ayah Ji , aku dambakan kasih sayangmu.

Ayah Tok, moga kita lebih mengenali di sana nanti.

Mak Tok, kesabaranmu hanya Jannah menanti.

Papa, kebaikanmu pasti dibalas seadanya.

Semoga Allah merahmati kalian di sana!

Tuesday, December 25, 2012


KOMEN ATAS KOMEN



Suatu ketika dahulu, seorang raja bertitah kepada sebahagian pembesarnya dan rakyat jelata supaya tidak mendekati sebatang pohon di taman istana yang telah disumpah oleh ahli sihir menjadikan buahnya beracun. Jika dimakan buahnya, maka akan mati dek kerana racun berbisa. Telah berkali-kali cuba ditebang pohon itu tapi tidak berhasil. Titah sang raja:

“Beta berseru kepada sekalian rakyat jelata agar tidak mendekati dan tidak mengambil buah dari sebatang pohon berdekatan tasik di taman istana. Jika sesiapa makan buah itu, nescaya akan mati. Justeru, jangan sesekali mengambil buah dari pohon itu meskipun kalian kebuluran. Jika tiada makanan, datanglah kepada beta nescaya beta beri kamu makan. Barangsiapa mengambil buah tersebut untuk dijual atau diberi makan kepada orang lain, akan beta pancung. Beta amat menyayangi rakyat beta.”

Demikianlah seorang raja yang amat mencintai rakyatnya dan sentiasa melindungi keselamatan seluruh negaranya. Takdir tidak menyebelahi sang raja. Disebarkan kepada rakyat jelata yang tidak mendengar titah baginda raja bahawa baginda penguasa zalim. Seorang yang mendengar titah baginda berkata:

“Hamba dengar raja bertitah supaya tidak mengambil buah dari pohon itu. Katanya, walaupun kita kebulur tiada makanan, jangan juga dimakan buah dari pohon itu. Siapa makan, nescaya akan mati. Siapa ambil untuk diberi makan kepada orang lain pula akan dipancung. Sungguh zalim raja kita. Kita harus menentang. Raja zalim harus dibunuh.”

Rakyat 1: “Alangkah zalim raja kita, tidak bersimpati kepada kita si miskin yang tiada berpunya apa-apa. Buah itu juga dilarang kita mengambilnya.”

Rakyat 2: “Ini raja tiada berhati perut. Tiada otak. Tiada belas kasihan pada rakyatnya.”

Rakyat 3: “Masakan mengambil buah untuk diberi makan kepada orang lain juga akan dipancung? Ini tidak masuk akal. Ini penindasan sang penguasa kepada rakyatnya.”

Kemarahan rakyat membuak-buak. Akhirnya sang raja maut di tangan si pemberontak. Si penghunus pedang pembunuh raja dengan bangga lantas memetik sebiji buah dari pohon itu lalu dimakannya. Racun menjalar ke seluruh urat sarafnya lantas dia rebah dalam kesakitan. Mati di pinggiran pohon dengan buah yang belum kehabisan di tangan.

Begitulah nasib sang raja. Larangan untuk keselamatan rakyatnya akhirnya menempah maut untuk dirinya. Berita yang sampai ke telinga sang rakyat terus dipercayai tanpa mendapat sebarang penjelasan dari sang raja. Raja yang amat mengasihi rakyatnya digambarkan seorang penguasa yang zalim. Mengapa ia berlaku?

  1. Yang mendengar ucapan tersebut tidak faham atau sengaja buat-buat tidak faham ucapan raja tersebut.
  2. Hanya sekerat atau sepotong dua ayat sahaja dari keseluruhan ucapan raja disampaikan mengikut kecenderungan pemikiran.
  3. Hanya ayat yang boleh dijadikan modal untuk si pembuat komen bercakap sahaja yang ditekankan sedangkan ayat “Jika tiada makanan, datanglah kepada beta nescaya beta beri kamu makan” dan ayat “Beta amat menyayangi rakyat beta” tidak disampaikan.
  4. Tiada siapa yang mendengar ulasan terhadap apa yang diucapkan sang raja pergi untuk mendapatkan penjelasan raja terhadap maksud titahnya.
  5. Rakyatnya terlampau emosional dalam menghadapi perkara ini.
Makanya, seluruh ucapan sang raja sudah “dilarikan” maksudnya yang membawa kepada “fitnah secara tidak sengaja” terhadap sang raja.

Bukankah itu yang berlaku pada hari ini? Kita mudah percaya akan suatu berita yang disampaikan. Dilaporkan kepada kita oleh seorang teman rapat bahawa si polan berkata begini dan begini. Dipetik satu dua ayat daripada seluruh ucapan yang panjangnya hampir dua jam. Kemudian dibuat satu komen mengikut acuan kecondongan sendiri. Kemudian komen itu disebarkan. Dan ramai yang malas untuk mendengar sendiri ucapan yang dua jam, tetapi rajin untuk membuat komen terhadap komen yang dibuat. Kata-kata hamburan dari komen si pendengar ditambah lagi dengan hamburan komen atas komen yang telah dibuat.

Natijahnya, kita mengkritik sang pembuat ucapan tanpa mendengar sendiri keseluruhan teks ucapannya tetapi hanya berpandungan kepada orang lain yang memberi komen. Dan akhirnya, satu gambaran salah dicipta secara tidak langsung kepada pengucapnya.

Itulah hakikatnya! Terkadang kita alpa dek ketaksuban kecenderungan kita, maka kita mudah mempercayainya. Tidak perlu usul periksa. Tidak perlu soal segala. Kita tidak tahu apa maksud ucapannya, kita tidak faham apa konteks ucapannya. Yang dilihat hanya sebaris dua ayat seperti apa yang berlaku kepada sang raja tadi. Malah tiada siapa yang pergi untuk meminta penjelasan sang raja akan apa maksudnya dan atas sebab apa baginda bertitah sedemikian.

Itulah kita!

Penyebar fitnah tanpa usul periksa!

Pemaki hamun tak kira masa!

Kerna kita rasa kita betul belaka!

Bukankah Islam ajar “Jika sampai satu berita, hendaklah kamu selidikinya”!

Mungkin kita sudah lupa!

Atau memang kita jenis yang ikut sedap kita bila berkata-kata!