CABARAN UNTUK KERAJAAN DI BAWAH PIMPINAN BARU
Saya "mencabar" kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat mengikut kemampuan yang ada. 23 tahun memerintah bukan lagi alasan untuk tuding-menuding kepada kerajaan Pusat. Kalau orang yang berusia 23 tahun pun, sudah tidak relevan untuk dia masih bergantung kepada ibu bapa.
Soal Lebuhraya Rakyat yang dinilaikan 1 billion dan kita setakat ini hanya mampu mengutip 20 juta. Adakah kerana masih tidak mencapai angka 1 billion maka ia menjadi satu alasan untuk tidak memulakan sebarang kerja ke arah permulaan lebuh raya? Gunakan 20 juta tersebut walaupun ia mampu membina hanya 1km sahaja. Kerana rakyat ingin melihat ada usaha.
Soal stadium, ia dipecah tanah ketika hampir menjelang PRU13 dan setakat ini, saya tidak melihat sebarang gerak kerja dilakukan (stadium "bakal" dibuat di kawasan saya dalam DUN Selising, Pasir Puteh). Jangan jadikan ia sebagai modal pilihanraya! Sebelum PRU13 pecah tanah, nanti bila PRU14 bakal menjelma, wakil kerajaan pergi letak batu asas pulak?
Anak-anak muda melihat janji-janji ini dibuat dan anak-anak muda juga menanti janji-janji ini terlaksana. Semangat mempertahankan kerajaan Kelantan di bawah parti itu mungkin akan pudar jika perkara ini tidak diambil serius. Anak muda sekarang saya lihat bukan lagi "totok warna".
Seperti mana BN selalu kata, "Kalau kami memerintah negeri Kelantan, kami akan bina lebuhraya dan stadium". Jangan pula PAS meniru "Kalau kami menang Putrajaya, baru kami dapat bina lebuhraya dan stadium". Sama tapi tidak serupa?
Rakyat khususnya anak muda ingin melihat perbezaan. Jangan marah jika saya kata "Kalau PAS gagal menangani isu janji khususnya lebuhraya dan stadium, jangan terkejut atau melatah kerana saya meramalkan PAS bakal tersungkur di negeri yang ia rasakan paling selamat!"
No comments:
Post a Comment