Friday, February 22, 2013
REBUT GULA-GULA
Teringat masa kecil-kecil dulu, kalau ada acara sukan, pasti
ada acara rebut gula-gula. Biasanya acara tersebut hanya dikhususkan untuk
kanak-kanak umur 6 tahun ke bawah. Seorang dewasa akan memegang plastik besar
berisi gula-gula dan melambung segenggam demi segenggam gula-gula tersebut
untuk direbut oleh anak-anak kecil. Maka anak-anak kecil yang excited melompat-lompat cuba
merebut-rebut gula-gula sebanyak mungkin.
Bapa A: “Apsal la dok baling gula-gula tu. Macam dok bagi
makan kat beruk dah.”
Bunyinya kasar.
Anaknya juga turut serta dalam acara rebut gula-gula itu.
Bapa B: “Tak baik kau cakap anak-anak tu beruk. Anak kau pun
ada kat situ.”
Bapa B tersinggung kerana anaknya juga turut serta.
Bapa A: “Eh kau ni. Ada aku cakap anak-anak kecil tu beruk
ke? Aku cakap yang dok baling gula-gula tu pasal apa? Macam dok bagi makan kat
beruk la dok main baling-baling ni.”
Sambungnya lagi, “Aku tak marah anak-anak kita dok rebut tu,
aku marah orang yang baling gula-gula tu. Gaya orang yang baling gula-gula tu
macam dia tengah bagi makan beruk. Aku bukan cakap anak-anak kita beruk.
“Kalau kau nak marah, marah la kat orang yang dok baling
gula-gula tu sebab dia buat anak-anak kita macam beruk. Yang kau marah aku kata
aku cakap anak-anak kita macam beruk pasal apa? Tok sah dok nak putar belit la”
Tok sah dok putaq
belit,
Nanti tak pasai-pasai
diri sendiri terpalit.
Wednesday, January 23, 2013
KASUT
Saat berjalan membeli makanan di pasar malam, seorang budak
lelaki sebaya adik bongsuku itu mengangkat kening ke arah adikku.
“Siapa tu?”
tanyaku spontan.
“Ali (bukan nama
sebenar). Dia sama pra sekolah dengan aku dulu. Yang mak dia mati accident masa
lintas jalan dulu,” jawab adikku.
Aku cuba mengorek kembali memori itu. Namanya pernah aku
dengar. Dan cerita ibunya mati kemalangan juga seakan tersimpan rapi dalam
benakku. Tidak pasti tentang ayahnya, tapi rasanya ayahnya juga sudah tiada.
“Sekarang sekolah sama
ke?” tanyaku bersahaja.
“Ya. Entah la dia
tinggal dengan siapa sekarang. Pak cik dia kot. Kesian dia,” sambung
adikku.
Kesian.
Itu yang terlintas.
“Hari tu cikgu buat
spot check kasut. Dia pun kena panggil juga,” adikku ingin terus bercerita.
Spot check kasut
adalah perkara biasa di sekolah. Yang memakai kasut yang tidak memenuhi
piawaian akan dikenakan tindakan. Kriterianya, tidak memakai kasut yang tidak
sesuai untuk persekolahan, tidak mempunyai line yang berlebihan, line tidak
berwarna merah, tidak memakai selipar dan tidak melilit atau mengikat tali
kasut pada kaki.
Adikku dipanggil juga cikgu disiplin atas sebab yang
terakhir.
“Ali kena panggil
sebab kasut dia buruk. Buruk sangat. Lusuh,” kata-kata adikku yang membuat
aku tergamam.
Sambungnya, “Cikgu
marah dia depan pelajar lain.Aku nak cakap kat cikgu situasi Ali, tapi aku
takut sebab aku pun kena panggil. Lagipun depan orang ramai, takut Ali pula
yang malu.”
Terkilan.
Itu yang aku rasa.
Memanggilnya bersama pelajar-pelajar yang tidak memenuhi
kriteria pemakaian kasut yang dibenarkan pihak sekolah adalah wajar. Tetapi
memarahinya atas sebab kasutnya buruk dan lusuh di hadapan khalayak ramai bukan
suatu tindakan yang bijak. Tidak pasti samada guru tersebut ada bertanya
mengapa kasutnya begitu saat dia memarahi pelajar itu.
Guru disiplin tugasnya bukan sahaja meninggikan suara atau
menghayun rotan kepada pelajar berkesalahan, tetapi ia lebih daripada itu.
Alangkah baiknya, jika memanggil pelajar tersebut bersendiri dan ditanyakan
sebab sebelum dimarahi di khalayak ramai. Tidak ada sesiapa yang mahu memakai
kasut buruk dan lusuh di sekolah.
Aku percaya, masih ramai guru-guru yang ada hati. Bukan
menyuruh guru tersebut mengeluarkan wang membelikan kasut, tetapi cukuplah
menyelami hatinya dan tidak memalukannya. Lebih baik jika dilaporkan kepada
pihak kebajikan sekolah, atau koperasi, atau PIBG. Aku yakin dan pasti, akan
ada yang mahu sponsor sepasang kasut
untuknya.
Aku malu dan takut.
Kerana di tepian aku
melukut.
Jangan marahkan aku
sekencang ribut.
Jika penampilanku
tampak kusut.
Aku tidak meminta dan
tidak mahu menyebut.
Yang aku tidak mampu
membayar harga sepasang kasut.
Friday, January 18, 2013
DIAM TANDA APA?
“Kami datang ni
membawa hajat. Nak menyunting bunga di taman. Sudikah Melah menjadi menantu
kami, bersuamikan Mail?” tanya Pak Mat kepada Pak Lang dan Mak Lang, ibu
bapa Melah.
“Hah Melah, apa kata
kamu?” sergah Mak Lang kepada anak gadisnya yang dari tadi lagi diam
membisu.
Melah berhasrat untuk memanjangkan tempoh masanya dalam
diam.
“Diam tandanya setuju
la tu,” sampuk Mak Esah isteri Pak Mat, disambut hilai tawa semua orang
yang ada. Melah hanya senyum tersipu-sipu. Malu tapi mahu.
Diam tanda SETUJU?
Diam maksudnya YA?
Diam isyarat SOKONG?
Mungkin pada tahun 60-an, gayanya begitu. Diam maknanya tiada
bangkangan. Diam disama ertikan dengan setuju. Adakah dunia era ini begitu?
Masih relevankah diam tanda setuju pada hari ini? Bukan dari segi nikah kahwin
sahaja, tapi dari segala aspek.
Freedom of speech. Hampir segenap kelompok manusia bercakap
soal hak kebebasan bersuara. Semakin hari, semakin galak berbicara soal
kebebasan bersuara. Ia menunjukkan betapa kebebasan bersuara berada pada tahap
bahaya. Penafian, baik secara formal atau tidak formal, terhadap hak seseorang
untuk bersuara semakin terhakis. Kalau tidak kerana hak tersebut semakin
terhakis, maka orang tidak akan bercakap soal kebebasan bersuara. Polis tidak
akan mempertingkatkan rondaan di suatu kawasan perumahan jika kadar jenayah di
kawasan tersebut tidak meningkat. Mudah!
Kita melihat suasana pada hari ini yang sudah tidak mesra
untuk berbeza pandangan. Orang sudah takut untuk menentang arus. Kita berada
pada zaman di mana sokongan disuarakan sekuat mungkin, tapi ketidak sokongan didiamkan
sesunyi mampu. Mereka yang tidak bersetuju lebih memilih untuk mendiamkan diri
daripada menyuarakan ketidak puasan hati. Faktornya, mungkin memikirkan natijah
jika tidak bersetuju atau untuk menjaga hati seseorang.
Apa saja alasannya, era ini adalah era di mana ramai antara
kita yang “takut” untuk bersuara. Maka bila kita menyuarakan sesuatu, ada yang
gegak gempita menyokong kita, tapi ada juga yang diam tidak berkata apa-apa.
Tapi tiada seorang pun yang berkata tidak setuju. Apakah kita berfikiran semua
setuju?
Samada mereka takut
atau malu.
Atau tidak mahu
dilihat melulu.
Maka bila aku berkata
sesuatu.
Dan ada yang tidak
menyokong tanda setuju.
Tapi memilih untuk
diam membatu.
Isyaratnya aku sangat
tahu.
Kerna aku juga begitu.
Diam bila tidak
besetuju!
Thursday, January 17, 2013
SESI SOAL JAWAB
“Terima kasih kepada
semua panelis atas pandangan yang dikemukan. Sekarang saya buka kepada para
hadirin untuk bertanya sebarang soalan kepada panelis. Sila mara kearah
mana-mana mikrofon, nyatakan nama anda dan dari mana,” kata moderator program
atau forum.
Maka sesi soal jawab dibuka.
Typical.
Memang biasa.
Satu kebiasaan selepas apa saja program, baik syarahan atau
forum, baik formal atau tidak formal, sesinya diakhiri dengan soal jawab.
Satu kebiasaan bagi mereka yang inginkan pencerahan,
menyokong atau membangkang hujah panelis untuk bersuara.
Satu kebiasaan juga, bagi saya untuk menikus tanpa
kata-kata, hanya senyum di muka, tapi bicara penuh di dada. Cuma selalu saja
alasannya “mungkin tak kena tempat dan
masa, lain kali saja.”
“Orang yang berjiwa
besar sedia untuk dikritik,” kata seorang pakar motivasi di TV3.
Ya, dikritik! Bukan kritikan terhadap fizikalnya yang
gempal, hitam atau pendek. Bukan kritikan bersifat peribadi dia berkahwin dua
atau dia takut bini.
Tapi kritikan terhadap hujahnya, terhadap apa yang diuarakannya
pada forum tersebut. Dan panelis seharusnya mendengar hujahnya dikritik dan
bersedia untuk membalas kritikan tersebut dengan hujah.
Panelis harus sedar
yang dia semestinya akan “menang” dalam sesi soal jawab itu kerana yang
bertanya tidak mungkin akan diberi peluang untuk menjawab kembali apa yang
dijawab oleh panelis. Mudah! Ia sebuah sesi soal jawab, bukan perbahasan yang
bersabung-sabung antara dua pihak.
Maka, moderator tidak harus menjadi “lebih sudu daripada
kuah” sehingga menampakkan kebodohannya, malah menjadikan panelis juga sama
bodoh kerana menjangkakan panelis “tidak mampu” untuk menjawab soalan yang
dikemukakan, kerana itu dia menolak soalan, malah menafikan hak penanya soalan.
I can't force you
to agree with me. But I will fight for your right to
disagree.
Kita inginkan mahasiswa yang kritis. Mahasiswa yang mampu
berpemikiran terbuka. Mahasiswa yang mengolah idea, bukan menghafal skrip.
Bawani.
Ia hanya satu nama.
Tapi mewakili sejuta
mahasiswa.
Cuma bezanya, dia
Bawani yang bersuara.
Dan kita Bawani bisu
bila berbicara.
Jangan kata nak
mahasiswa kelas pertama.
Jika takut berdepan
hujah berbeda.
Jangan buat forum atau
bual bicara.
Kalau nak rasa syok
sendiri saja.
Kalau berdepan seorang
mahasiswa pun anda tidak berdaya.
Nasihat saya, sesi
soal jawab jangan sesekali dibuka!
Thursday, January 10, 2013
BELASUNGKAWA
Sudah lebih dua minggu tidak sempat menjenguk blog yang baru
dibuka. Setelah posting pertama dimuat naikkan dan blog dipromosikan kepada
sahabat-sahabat terdekat, beberapa soalan ditanya:
“Buat blog baru ke?”
“Apsal nama blog unik sangat?”
“Thanks. Nanti ada masa aku baca.”
“Dah lama dah cakap nak start
blogging balik, baru sekarang ada.”
..… dan segala macam komen lagi yang diberi. Tapi yang terbaik
ialah:
“Ala, satu artikel je? Tak cukup bro!”
Aku anggap itu satu pujian dari seorang sahabat yang
dahagakan lagi artikel-artikel seterusnya. Idea menulis masih segar di otak.
Ada artikel-artikel dalam proses mengemaskini. Cuma masanya “kurang ada” untuk
diletakkan sebagai tatapan. Sibuk. Sibuk menjadi drebar terhormat bonda
tercinta. Keadaan kesihatan datuk yang semakin kurang. Setelah lebih kurang 3 bulan
terlantar sakit, semalam Allah menjemput hambaNya itu untuk kembali kepadanya.
Semoga Allah mengampuni segala khilafnya dan menempatkan dia dalam kalangan
orang yang beriman.
Ayah, aku rindu
padamu.
Ayah Ji , aku dambakan
kasih sayangmu.
Ayah Tok, moga kita
lebih mengenali di sana nanti.
Mak Tok, kesabaranmu hanya
Jannah menanti.
Papa, kebaikanmu pasti
dibalas seadanya.
Semoga Allah merahmati
kalian di sana!
Subscribe to:
Comments (Atom)